WARISAN BUDAYA (USAHA MELESTARIKAN WARISAN BUDAYA)
Sebagai rakyat Malaysia, kita
dilazimi dengan kekayaan budaya serta seni warisan yang dimiliki sejak
betahun-tahun dahulu. Daripada persembahan wayang kulit, permainan wau, dan
tarian yang berbeza-beza mangikut negeri masing-masing. Pelajar pastinya dapat
memberikan idea-idea yang bernas dalam penulisan karangan masing-masing agar
markah yang cemerlang dapat dicapai dengan jayanya.
Mutakhir ini,
masyarakat kita lebih gemar menikmati hiburan daripada negara asing seperti
Amerika dan Korea Selatan. Hal ini kerana kuasa pemasaran dan gelombang peminat
yang kuat telah menyebabkan ramai di antara ahli masyarakat kita turut sama
berkongsi minat melihat atau menikmati hiburan daripada negara asing. Jika
ditelusuri pada zaman nenek dan moyang kita, cara hiburan mereka adalah dengan
melihat persembahan tari-menari atau wayang kulit di kawasan pantai timur
khususnya. Semakin hari semakin ia dilupakan oleh generasi pada hari ini kerana
ia kelihatan tidak relevan dan ketinggalan zaman. Oleh itu, kita seharusnya
mengubah pandangan sarwa ini supaya peninggalan datuk dan nenek kita tidak
tenggelam dek zaman. Pihak-pihak berkuasa seperti pemimpin negara hendaklah
mencai satu mekanisme sebagai usaha mengekalkan seni budaya demi generasi masa
hadapan negara.
Langkah pertama yang
perlu dilaksanakan bagi melestarikan warisan seni dan budaya dalam masyarakat
pada hari ini adalah menggunakan platform media massa untuk membuka kembali
mata masyarakat yang hilang dibawa arus hiburan negara asing. Usaha ini dilihat
sukar kerana kebebasan sosial media yang menjadi asbab masyarakat kita
mengeksplorasi hiburan atau seni budaya asing untuk tontonan masing-masing.
Maka, pihak berkuasa wajar mengambil kesempatan yang sama untuk menyajikan
filem, drama, sketsa malah iklan berkaitan dengan seni dan budaya masyarakat
kita di seluruh media massa. Stesen televisyen yang menjalankan operasi mereka
mengejar rating hendaklah diseimbangkan dengan usaha melestarikan seni dan
budaya yang kita miliki. Rancangan atau kandungan yang menyemai unsur-unsur
budaya seperti filem Puteri Gunung Ledang wajar diterbitkan dengan lebih banyak
agar menyemai minat masyarakat terhadap seni dan budaya. Bak kata pepatah, sehari
selembar benang, lama-lama menjadi kain.
Dalam masa yang
sama, menjadikan warisan seni budaya sebagai salah satu subjek wajib dalam
pendidikan di peringkat sekolah rendah atau menengah pasti dapat
melestarikannya. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Persis peribahasa
Melayu tersebut, antara cara terbaik untuk menyemai minat seseorang terhadap
sesuatu perkara adalah melalui pendidikan di peringkat awal. Umum sedia maklum
mata pelajaran seni sudah pun dilaksanakan di sekolah namun ia perlu ditambah
baik dengan lebih banyak pengisian mengenai kesenian dan persembahan masyarakat
kita. Wujudkan satu bulan atau minggu penghargaan kesenian dan budaya di
peringkat kebangsaan agar pelajar dapat menyertai aktiviti-aktiviti yang
berkaitan untuk mempelajari dan memahaminya. Dengan pengalaman menyertai
aktiviti kesenian atau budaya, mereka akan lebih menghargai dan tersemat dalam
hati mereka sifat cinta akan warisan datuk dan nenek moyang mereka.
Usaha lain yang
wajar untuk diaksanakan adalah dengan memelihara kesenian dan budaya yang masih
ada ketika ini. Sebagai contoh, pementasan wayang kulit dan tarian-tarian semakin kurang
mendapat undangan atau sambutan. Pihak berkuasa yang banyak menganjurkan
aktiviti kemasyarakatan wajar memberi peluang kepada penggiat kesenian tanah
air untuk mempersembahkan seni mereka kepada orang ramai. Selain itu, penubuhan
institusi seperti Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan
Sekolah Seni di seluruh negara pasti dapat menghasilkan generasi muda yang
bakal menyambung legasi penggiat terdahulu. Usaha ini mustahak kerana
kebanyakan penggiat yang duduk di luar bandar tidak mempunyai pengganti akibat
kurang minat atau tekanan ekonomi. Sekiranya pihak berkuasa mempunyai kehendak
untuk membela penggiat seni ini pasti isu legasi tidak menjadi masalah kerana
ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Akhir
sekali, cara yang paling berkesan untuk mengekalkan sesuatu perkara daripada
kemusnahan adalah dengan memberikan insentif yang secukupnya kepada penggiat
warisan seni dan budaya. Polemik ini telah lama berlaku dalam kalangan
masyarakat kita tetapi tiada pihak yang jujur untuk berusaha menyelesaikannya.
Jika kita lihat, setiap tahun pasti ada bajet-bajet besar yang disalurkan untuk
pembangunan negara. Kita tidak akan berasa rugi sekiranya peruntukkan tersebut
disalurkan kepada penggiat seni dan budaya dalam corak yang konsisten. Perkara
ini bukan sahaja dapat memastikan kebajikan mereka terjamin malah memberikan
mereka ruang untuk mengekspresi persembahan dan seni kreatif mereka dengan
lebih baik. Contohnya, dengan bantuan kewangan yang banyak, penggiat seni dapat
menyertai konvensyen kebudayaan dan kesenian di peringkat antarabangsa untuk
mempersembahkan warisan yang kita miliki. Intihannya, dengan insentif dan
pengurusan yang baik, pasti seni dan budaya kita dapat dilestarikan semula.
Konklusinya,
pelbagai usaha melestarikan seni dan budaya dapat dijayakan sekiranya setiap
pihak bersepakat mencapai objektif yang sama. Dengan iltizam dan matlamat yang
betul, usaha ini pasti dapat melestarikan semula apa yang semakin pupus dalam
jati diri rakyat di Malaysia. Elakkanlah daripada melakukan perkara sekerat jalan
ibarat hangat-hangat tahi ayam. Kelak yang rugi adalah kita dan generasi akan
datang yang tidak mengenal asal dan usul mereka kerana telah dikaburi dengan
elemen kebudayaan dari negara asing. Kesannya generasi akan datang tidak
menghargai apa yang mereka lihat di negara mereka sebaiknya mengagungkan budaya
asing dan bakal memusnahkan identiti bangsa dan negara kita. Semoga berbekalkan
semangat patriotisme yang kita miliki pada hari ini dapat menjadi pegangan
untuk kita mengekalkan seni dan budaya masyarakat kita.
Comments
Post a Comment