ISU SEMASA (NEGARA MADANI)

 



            Pada tarikh 19 Januari 2023, Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerangka dasar baharu untuk negara dikenali 'Membangun Malaysia Madani', yang dirumus bagi mencipta lonjakan baharu kepada negara. Visi dan Kerangka MADANI yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hasil pengalaman politik dan pentadbiran selama lebih 50 tahun, bakal menjadi asas dasar pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Berteraskan enam rukun, iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan, MADANI digarap dengan keinginan dan hasrat untuk melihat kembali kepada identiti, kebudayaan dan kemampuan sendiri dalam membina Malaysia yang lebih baik.

Rukun kemampanan dalam kerangka MADANI, membawa takrifan yang berbeza daripada maksud konvensional dengan merujuk kepada kemajuan mutu kehidupan bangsa dalam acuan yang seimbang di antara manusia dan alam, berasaskan kepada keunikan Malaysia. Ia diikuti rukun kesejahteraan, yang mengambil kira sikap baik dan mampan serta mengimbangi di antara keperluan jasmani dan rohani. Rukun daya cipta akan mewujudkan proses perubahan berterusan, mendakap dan memperkasa kreativiti rakyat ke arah negara yang menyediakan persekitaran dan infrastruktur yang mampu merangsang kreativiti dan menggalakkan penghasilan sistem, produk, idea dan proses yang lebih maju. Kalimat hormat pula menekankan kepada aspek maruah manusia, adab serta prinsip memperlakukan orang lain sebagaimana seseorang itu mahu diperlakukan, dengan tumpuan khusus kepada hak asasi manusia dan maruah. Rukun keyakinan, menuntut kepada perilaku amanah, kepercayaan serta kebertanggungjawaban, manakala rukun ihsan, membawa hasrat tanggungjawab sosial yang menyeluruh, bukan semata-mata suatu rasa yang hadir secara sepintas lalu, sebaliknya ia menyelami penderitaan dan kesusahan individu lain dan mencari penyelesaian untuk menanganinya. Kesemua rukun itu akan mengambil kira lapan elemen dalam merangka sesuatu dasar, iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, institusi, pendidikan, kemasyarakatan, kebudayaan, bandar serta luar bandar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanatnya secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) tempoh hari berkata tema Madani akan kekal relevan dan mampu selamatkan negara. Konsep Madani menggambarkan kepercayaan yang dicerna antara kerajaan dan rakyatnya berdasarkan pada asas ketelusan dan kerjasama. Malaysia Madani akan menggantikan konsep 'Keluarga Malaysia' ketika pentadbiran perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Jabatan Perdana Menteri, amanat Perdana Menteri adalah berpaksikan latar pengalamannya dalam keprihatinan dan perjuangan rakyat bermula daripada gerakan pelajar, aktivis sosial, ahli politik, pemimpin kerajaan sehinggalah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10. Agenda dasar kerangka MADANI bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan negara, tetapi turut menyentuh pencorakan masa hadapan serta memenuhi potensi rakyat serta negara. MADANI disasarkan untuk dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka bagi memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar. Konsep Madani dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya, yang berteraskan nilai, etika atau akhlak.

Perdana Menteri berkata istilah Madani yang sememangnya sudah sekian lama diperkenal dan diungkap oleh pemikir sejak dahulu lagi, diperkenalkan dalam pentadbiran negara berikutan ia memberi keutamaan kepada soal keyakinan dan kemanusiaan. Tatkala negara dipacu untuk maju dan kadang kala tercemar kerana salah laku serta rasuah, selain keruntuhan nilai, perlu ada kesedaran bersama dalam kalangan semua pihak untuk menghidupkan semula kekuatan leluhur bangsa daripada semua kaum dan agama di negara ini, dengan nilai murni yang harus dikembangkan semula.

Comments

Popular posts from this blog

TOKOH MOTIVASI (DATO’ FADZILAH KAMSAH)

ISU SASTERA (PENGAJARAN SASTERA MELAYU DI SEKOLAH MASIH LEMAH)