TOKOH MOTIVASI (DATO’ FADZILAH KAMSAH)

 


Dato’ Dr. Haji Mohd. Fadzilah Kamsah dilahirkan pada 16 Julai 1951 di Sungai Pinang, Klang dan merupakan anak yang ke -2 daripada 12 adik-beradik. Beliau telah berkahwin dengan Sharifah Bt Md. Nor dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nurhidayah, Muhammad Syakir dan Muhammad Shazwan. Dr. Fadzilah Kamsah adalah pemegang ijazah B.S Agric Science daripada Universiti Malaya pada tahun 1975 sebelum melanjutkan pelajaran ke Wisconsin, USA pada tahun 1977 untuk mengambil M.S Agricultural Journalism. Kemudiannya beliau melanjutkan pelajarannya ke peringkat PhD. yang membawa gelaran Dr. di tempat yang sama dalam bidang Organization Communication pada tahun 1984.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1977 setelah tamat pengajian di peringkat sarjana. Pada tahun 1993, beliau telah mengasas dan menubuhkan sebuah syarikat perundingan yang menyediakan khidmat pembangunan motivasi dan keluarga. Syarikat perundingan beliau mengkhusus dalam bidang khidmat pelanggan, etika kerja, budaya korporat, kaunseling, kepimpinan, pengurusan, penyeliaan, dan keibubapaan. Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah kerap muncul di kaca televisyen melalui beberapa program seperti segmen motivasi di saluran TV1 (Radio Televisyen Malaysia – RTM).

Selain daripada itu, beliau juga turut aktif dalam bidang penulisan dengan menghasilkan buku-buku berkaitan motivasi dan pembangunan keluarga. Antara karya beliau seperti Menjalin Hubungan Bahagia, Merancang Kejayaan, Tip Menjadi Individu Menarik, Kuasa Hijrah Kuasa Untuk Berubah, Psikologi Cinta, 55 Petua Seronok Bekerja dan banyak lagi. Beliau juga mengendalikan lebih 6000 program latihan untuk agensi kerajaan dan juga swasta melalui syarikat perundingan beliau. Berkarisma, keperibadian yang menarik, gaya pertuturan yang tersendiri dan tenang ketika menyampaikan kata-kata membuatkan ramai orang terkesan dengan motivasi dan nasihat yang diberikan oleh beliau.

Pada 10 Januari 2008, beliau telah terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Selangor sebagai mengiktiraf jasa dan sumbangan beliau terhadap pembangunan modal insan dan keluarga. Selain itu, Beliau juga pernah mendapat Anugerah Skrin 2011 sebagai Rancangan Bual Bicara Terbaik.

Comments

Popular posts from this blog

ISU SASTERA (PENGAJARAN SASTERA MELAYU DI SEKOLAH MASIH LEMAH)

ISU SEMASA (NEGARA MADANI)