TOKOH SASTERA (SHAHNON AHMAD)
Shahnon Ahmad adalah seorang tokoh
yang cukup istimewa. Ini disebabkan beliau adalah seorang tokoh sastera Melayu
yang dikagumi, dihormati dan disayangi. Beliau juga turut dikenali sebagai
seorang pengarang, penyelidik, pengkritik dan pengajar kesusasteraan yang
memperlihatkan pemikiran sebagai seorang Melayu yang penuh nasionalisme Melayu,
sebagai seorang Islam yang penuh ke-Islamannya, dan sebagai seorang pengarang
yang amat kental dengan teknik, inovasi dan kreativitinya.
Dato’ Haji Shahnon Ahmad dilahirkan
pada 13 Januari 1993, di Kampung Banggul Derdap, sebuah kampung pedalaman di
daerah Sik, Kedah Darulaman. Beliau merupakan anak bongsu daripada dua
adik-beradik. Bapanya, Haji Ahmad bin Haji Abu Bakar atau gelaran sehariannya
Pak Mat adalah berasal dari Medan, Sumatera dan telah meninggal dunia pada
tahun 1981. Waktu muda, Haji Ahmad telah mengembara dari tempat asalnya dan
berkahwin dengan ibu Shahnon serta menetap di Sik. Pada mulanya, dia bekerja di
Jabatan Ukur dan kemudian menjadi posmen. Pada masa Perang Dunia Kedua, dia
menjadi perisik kepada pihak British bagi mencari maklumat-maklumat rahsia
tentang gerakan-gerakan pihak Jepun. Sesuai dengan tugasnya sebagai posmen, dia
bebas masuk ke kubu-kubu[1] tentera Jepun untuk membantu pihak British ketika
itu. Kubu-kubu pihak Jepun ketika itu terletak di Gurun dan Guar Chempedak. Shahnon
merupakan seorang kanak-kanak yang pendiam, pemalu dan tidak suka bercampur-gaul
dengan orang lain. Apa yang sering dilakukannya adalah mengikut ibunya ke
sawah. Di situlah dia bermain dengan air sawah, mencari ikan serta menolong
ibunya mencabut rumput dan sebagainya. Apabila masuk ke sekolah rendah, Shahnon
terpaksa menyesuaikan diri dalam suasana persekolahan yang penuh dengan
keriuhan, perlumbaan dan cabaran. Hal ini menunjukkan pahit manis kehidupan
Shahnon yang sejak dari kecil lagi telah dibesarkan dan dididik dengan cara
yang serba sederhana dengan hasil padi sawah dan ini telah menyebabkan Shahnon
cepat matang berfikir dalam melahirkan idea seperti novel Seluang Menodak Baung
yang diterbitkan di Kuala Lumpur oleh Heinemann Educational Books (Asia) Ltd,
pada tahun 1978.
Shahnon Ahmad, merupakan penulis yang amat prolifik
menghasilkan karya kreatif terutama cerpen dan novel di samping esei kritikan
dan terjemahan. Pendidikan Inggeris yang diperoleh adalah satu kelebihan yang
ada pada dirinya berbanding dengan golongan seangkatan dengannya pada ketika itu.
Beliau telah memberi sumbangan yang besar dalam cerpen terjemahan terhadap
karya-karya pengarang dari Barat dan Timur. Pada awal tahun 1960-an, Shannon
telah berusaha menyumbangkan cerpen terjemahannya. Antara contoh cerpen
terjemahannya ialah antalogi ‘Setanggi’ (Karya dari Timur dan Barat) dan ‘Cepu
Kencana’ serta beberapa lagi hasil terjemahannya yang tedapat dalam majalah
Mastika ketika itu. Beliau bukan sahaja memperbanyakkan karya asing dalam
bahasa Melayu, tetapi juga telah berjaya memperkenalkan kesusasteraan luar
kepada masyarakat Melayu.
Selain
dikenali sebagai penulis yang kerap memenangi hadiah atas hasil karyanya,
beliau juga merupakan penulis yang banyak mengundang kontroversi disebabkan
gaya bahasa yang digunakannya serta tema karya-karyanya. Walau apa pun yang
diperkatakan orang, namun Shahnon terus menulis, bukan untuk bersastera
semata-mata bahkan untuk mencari kepuasan dan kebenaran. Esei-esei yang
terdapat dalam buku-buku beliau meliputi penyelidikan dan penulisan berdasarkan
karya-karya yang telah dihasilkannya. Sebanyak 21 buah esei dimuatkan, yang
memperkatakan novel kedesaan awalnya Rentong hinggalah novel Shit yang dianggap
satira politik. Sebelum Shahnon Ahmad, belum pernah ada pengarang yang
menyentuh isu-isu kemiskian secara terperinci. Shahnon berjaya membawa pembaca
merasa kesan kemiskinan hidup tersebut dan pembaca juga seperti pemerhati
sahaja dan tidak terdaya melakukan apa-apa sepanjang menghayati novel Ranjau
Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad. Dalam novel tersebut juga kita dapat
merasai bagaimana kedaifan hidup golongan petani, walau apapun di sebalik
kesusahan dan kemiskinan tersebut telah terserlah sebutir permata yang bernilai
dan murni.
Karya-karya yang Shahnon Ahmad
hasilkan bukan sekadar hiburan dan ilmu untuk santapan masyarakat, malah memberitahu golongan atasan
bahawa kemiskinan dan kesusahan hidup masyarakat desa yang tidak pernah diambil
peduli oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Shahnon Ahmad adalah seorang
yang bersikap revolusioner dalam mengangkat martabat masyarakat miskin di
negara ini. Banyak ahli politik mengatakan beliau mengucar-kacirkan masyarakat, namun tanggapan tersebut adalah
silap kerana Shahnon Ahmad memperjuangkan sesuatu yang murni dan tulus dalam
dunia sasteranya. Shahnon Ahmad merupakan pengarang yang berani menulis tentang
apa-apa yang terasa dibenaknya tanpa mempedulikan sama ada karyanya nanti
menjadi kontroversi atau menyepi. Penulisannya berkembang menurut zaman
hidupnya dan fesyen sastera semasa. Sesungguhnya, sebagai pengarang kreatif,
Shahnon telah banyak menyumbangkan jasanya terhadap perkembangan sastera.
Comments
Post a Comment