KRITIKAN DRAMA (AYAHANDA)
Drama bersiri
bertajuk Ayahanda di bawah arahan Dato’ Ahmad Tamimi Siregar ini diterajui oleh
Jalil Hamid yang memegang watak ayah bernama Haji Abdullah. Nama pelakon yang
turut beraksi dalam drama penuh emosi meruntun kalbu ini ialah Fauziah Dato’
Ahmad Daud yang memegang watak ibu bernama Noriah. Drama bertemakan keluarga
dan kasih sayang ini turut dijayakan oleh pelakon popular seperti Fikry Ibrahim
sebagai Aziz, Noorkhiriah sebagai Halimah, Shahz Jaszle sebagai Ramli, Hairi
Safwan sebagai Ahmad, Sherry Ibrahim sebagai Aishah dan Mimi Ernida sebagai Rahayu.
Penggambaran drama 13 episod ini bermula pada bulan Mei 2021, yang mengambil
lokasi di beberapa kampung di Kedah dan Perlis.
Drama
bersiri ini diadaptasi daripada novel Ayahanda karya penerima SEA Write Award
tahun 1988, iaitu Azizi Haji Abdullah. Novel ini memaparkan kisah keluarga yang
berlatarkan kampung di utara tanah air pada tahun 1980-an. Penceritaan Ayahanda
disorot oleh Azizi melalui kaca mata seorang anak lelaki yang beradu keegoan
dengan seorang bapa yang hayatnya berusia 97 tahun. Melihat pada plot yang
meruntun jiwa dan konflik keluarga yang sarat dengan pengajaran, syarikat
penerbit Zeel Production Sdn. Bhd. Telah melamar novel Ayahanda terbitan Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk diadaptasikan dalam bentuk drama bersiri.
Plot
cerita adaptasi ini dikisahkan melalui dua sudut pandang. Sudut pandang pertama
memaparkan sika seorang ayah berdasarkan tanggapan dan pandangan anak bongsunya
yang begitu sukar untuk memahami apa-apa yang ada dalam hati degil aya| nya.
Kedegilan seorang ayah yang tidak bole ditegur dan tidak boleh menerima nasihat
anak-anak. Disebabkan kedegilan itu, si ayah sentiasa berburuk sangka,
berdendam dan mudah berasa marah. Dalam masa yang sama, timbul juga rasa
bersalah dalam hati si ayah yang sebenarnya berkonflik dengan perasaannya
sendiri.
Dari
sudut pandang si ayah pula, dia sanggup berkorban apa-apa sahaja demi keluarga
dan anak-anaknya. Susuk yang bernama ayah, sama ada dalam novel dan drama,
digambarkan melalui watak lelaki tua yang sebenarnya kaya dengan kasih sayang.
Walaupun sikapnya degil dan hatinya diselubungi rasa duka, dia tidak pernah
berhenti berdoa agar Allah memberkati mereka sekeluarga. Dia juga
jenis ayah yang tidak pandai menunjukkan rasa dengan luahan
kata-kata. Isi hatinya hanya ditunjukkan melalui perbuatan dengan harapan
anak-anaknya memahami dirinya. Hakikatnya, perasaan seorang ayah itu sukar
difahami sekalipun digali sedalamnya oleh anak-anak sendiri. Walaupun anak
lelaki dalam Ayahanda cuba untuk memahami perkara sebenar dalam hati seorang
lelaki tua, namun semakin dia cuba memahaminya, fikirannya sendiri menjadi
semakin rumit. Konflik inilah yang menjadi kekuatan novel dan
adaptasi drama ini.
Waris penulis novel Ayahanda, Anita, anak bongsu Aziz Haji Abdullah, semasa
ditemu bual oleh pihak DBP menyatakan, cerita tentang ayah yang terdapat dalam
novel Ayahanda sebenarnya ialah kisah ayah Azizi sendiri. Menurut Anita,
"Azizi mengolah kisah ayahnya sendiri dan bagaimana mereka sebagai
anak-anak yang kerap membangkang apa-apa yang ayah mereka lakukan semasa
hayatnya." Tambah Anita, konflik dalam Ayahanda ialah realiti yang berlaku
dalam sesebuah keluarga, termasuk keluarga Azizi, yang menunjukkan setiap yang
bergelar ayah itu memang ada sikap dan egonya sendiri, sama ada disenangi atau
tidak disukai oleh anak-anaknya.
Sememangnya,
Ayahanda merupakan sebuah karya yang sarat dengan tema kekeluargaan dan juga
elemen agama Islam yang menjadi tunjang penceritaan. Kisahnya digarap dengan
penuh penghayatan sehingga pembaca dapat merasai emosi setiap watak. Setelah
diadaptasi dalam bentuk drama, sudah pasti penonton tidak dapat mengelak untuk
berasa simpati dengan perjuangan ayah yang walaupun sudah di hujung usia tetapi
masih mengekalkan tugasnya sebagai seorang imam tua dan menghargai ilmu agama.
Barisan pelakon yang mantap dalam drama Ayahanda sudah tentu memberikan nyawa
kepada watak-watak yang selama ini hanya dibaca dalam novel yang diterbitkan
oleh DBP pada tahun 2016. Boleh dikatakan, naskhah Ayahanda membawa misi sosial
yang amat disarankan untuk dibaca dan ditonton oleh insan yang bergelar anak.
Comments
Post a Comment