ISU BAHASA (CABARAN BAHASA MELAYU DI MALAYSIA)
Pada zaman kini, Bahasa Melayu menghadapi cabaran yang sengit terutamanya dalam abad ke-21. Pada dasarnya bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara iaitu perkara 152 yang menyatakan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu. Jadi, pada abad ke-21, bahasa Melayu yang diperkasakan dan dimartabatkan di negara ini terpaksa menghadapi saingan dengan penggunaan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa global. Persaingan yang paling hebat dan mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini ialah pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Oleh yang demikian, tumpuan kertas kerja ini ialah membincangkan cabaran pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, cabaran bahasa Melayu dalam kemajuan teknologi maklumat, cabaran bahasa Melayu terhadap sikap penuturnya dan cabaran bahasa Melayu dalam penggunaan bahasa Melayu. Jadi, pelbagai seminar atau pembentangan telah dijalankan, kegusaran bahasa Melayu terus membimbangkan pada setiap insan yang mencintai bahasa Melayu. Melalui kertas kerja ini, perbincangan akan ditumpukan kepada cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu dalam abad ke-21 supaya cabaran-cabaran tersebut tidak membantut perkembangan bahasa Melayu pada masa akan datang. Justeru, cabaran- cabaran ini tidak akan mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar pendidikan di Malaysia pada abad ke-21
Menurut Prof. Dato’ Awang Hadi Salleh, dalam Laporan Jawatankuasa Mengkaji
Penggunaan Bahasa Malaysia, menegaskan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa ibunda
kepada orang-orang keturunan Melayu. Jadi, Perkara 152 Perlembagaan Malaysia
telah memperuntukkan bahawa bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan dan Bahasa
Kebangsaan ini hendaklah digunakan di dalam urusan rasmi dalam semua bidang.
Walaupun terdapat pelbagai halangan, penggunaan Bahasa Kebangsaan tetap
berjalan dengan lancar. Untuk memenuhi kehendak tersebut, pada peringkat awal,
Bahasa Kebangsaan telah diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran di sekolah
rendah atau menengah, khususnya sekolah yang bahasa pengantarnya bukan bahasa
Melayu. Pada peringkat yang terkemudian, apabila kedudukan Bahasa Kebangsaan
ini sudah cukup matang dan stabil, barulah wujud pula keperluan untuk
memperkukuhkan perpaduan rakyat dan memupuk keperibadian Malaysia, maka istilah
Bahasa Malaysia telah digunakan.
Bahasa Melayu harus berupaya menggambarkan kelahiran fikiran, kreativiti dan
aktiviti besar bangsa Malaysia. Cabaran-cabaran bahasa Melayu dalam abad ke-21,
perlu ditangani dengan berhati-hati supaya bahasa Melayu terus hidup dan mampu
bersaing di peringkat antara bangsa. Untuk memastikan kesinambungan kewujudannya dan kegemilangannya di persada
dunia dalam abad ke-21 , bahasa Melayu terpaksa menghadapi pelbagai cabaran,
sama ada dalam konteks nasional atau antarabangsa. Cabaran-cabaran ini
memperlihatkan bahawa bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu iaitu bahasa
Melayu dalam sejarahnya telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi
bahasa antarabangsa sejak zaman Empayar Srivijaya pada abad ke-7 Masihi
sehingga abad ke-19 Masihi. apabila bahasa Melayu menjadi lingua franca
di rantau ini. Malahan bahasa Melayu telah menjadi bahasa perdagangan dan bahasa
perhubungan antarabangsa. Kegemilangan bahasa Melayu telah menjadi kenyataan
pada masa itu apabila bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi dan bahasa
persuratan bagi pusat- pusat pemerintahan seluruh rantau berkenaan.
Namun, permulaan abad ke-20 merupakan era penjajahan Barat ke atas
Kepulauan-kepulauan Melayu iaitu Inggeris bagi Semenanjung Tanah Melayu dan
utara Borneo, Belanda bagi kepulauan Sumatera, Jawa, selatan Borneo, Sulawesi, Meluku, Madura dan Bali, dan Sepanyol bagi kepulauan Filipina (Prof. Dr. Hashim
Hj. Musa, 2009). Keadaan yang sedemikian telah menyebabkan bahasa Melayu telah
menghadapi cabaran iaitu bermulalah kemerosotan kedudukan bahasa Melayu sebagai
lingua franca di rantau ini. Dalam konteks ini, pihak penjajah telah memaksa
menggunakan bahasa mereka sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar pendidikan
terhadap jajahan takluk mereka. Setelah sekian lama, kemerdekaan tercapai
barulah bahasa Melayu telah dikembalikan statusnya sebagai bahasa kebangsaan,
bahasa rasmi dan lingua franca di rantau ini.
Setelah 52 tahun Malaysia merdeka dan 32 tahun pelaksanaan sepenuhnya dasar
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan, bahasa Melayu telah
menghadapi cabaran yang tidak diduga apabila Akta Pendidikan 1996 dan Akta IPTS
1996 diluluskan, maka semua IPTS dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai
bahasa pengantar. Keadaan belum reda, satu cabaran telah muncul iaitu pada
tahun 2003, penggunaan bahasa Inggeris bagi semua matematik dan sains dalam
semua peringkat. Namun, pejuang-pejuang bahasa bersatu tenaga untuk memastikan
bahasa Melayu mendapat tempat di negara ini seperti termaktub dalam
Perlembagaan Negara, Perkara 152. Akhirnya, tahun 2012 penggunaan bahasa
Inggeris dalam sains dan matematik dihapuskan. Munculnya abad ke-21, telah menjadikan bahasa Melayu semakin mendapat
persaingan sengit atau cabaran daripada bahasa Inggeris. Jadi, dalam kertas
kerja ini membincangkan empat cabaran yang bahasa Melayu hadapi pada abad
ke-21.
Oleh yang demikian, pemerkasaan bermaksud menjadikan sesuatu itu berwibawa,
dominan, kuat, hebat, terkenal, berdaulat, dominan, dan sebagainya (Kamus Dewan
Edisi Ke-4, 2005). Justeru itu, pemerkasaan bahasa Melayu bermaksud menjadikan bahasa
Melayu sebagai bahasa yang hebat, terkenal, berdaulat dan dominan di dunia;
hebat dari segi kandungan ilmunya, keintelektualannya, keluasan penggunaannya,
nilai ekonominya dan keterbacaannya (Prof. Dr. Hashim Hj. Musa, 2009). Pada masa
ini, sistem pendidikan negara berpengantarkan bahasa Melayu seperti yang
tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Negara iaitu bahasa rasmi dan bahasa
kebangsaan. Dalam abad ke-21, bahasa Melayu telah menghadapi cabaran apabila
pada tahun 2003, sains dan matematik dalam semua peringkat diajar dalam bahasa
Inggeris. Senario ini telah memberi impak kepada kedudukan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi di negara ini. Pejuang-pejuang bahasa telah bersatu hati
untuk mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu, Seminar-seminar,
pembentangan kertas kerja dan sebagainya telah diadakan bukan sahaja di dalam
negara malahan di luar negara. Tidak cukup dengan itu, badan NGO dan bukan NGO
turut bersama-sama untuk memastikan bahasa Melayu perlu dikembalikan dalam mata
pelajaran sains dan matematik.
Pada tahun 2010,, Tan Sri Muhiyidin Yasin,Timbalan Perdana Menteri telah
mengumumkan bahawa pada tahun 2012, mata pelajaran Sains dan matematik akan
diajar dalam bahasa Melayu. Langkah ini, telah menjadikan bahasa Melayu kembali
dominan dan diperkasa. Kejayaan sesuatu bangsa bukanlah berdasarkan bahasa Inggeris, tetapi kefahaman
sesuatu perkara dengan menggunakan bahasa ibunda. Justeru, ada yang menganggap
bahawa orang Melayu atau negara ini tidak akan maju jikalau orang Melayu tidak
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Perlu diingati, negara Jepun, Korea Selatan
dan banyak negara lain masih menggunakan bahasa ibunda dalam semua bidang.
Pemerkasaan bahasa ibunda mereka, telah menjadikan negara mereka maju malah
lebih maju daripada negara barat.
Selain itu, masyarakat sudah mula menunjukkan pentingnya peneguhan dan
penegasan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.
Maksudnya, masyarakat sudah sedar betapa pentingnya bahasa Melayu dan kini
wujudnya generasi yang mahu mempelajari dan mahir menggunakan bahasa Melayu.
Menurut Dr. Nik Safiah Karim (1993), Dasar Bahasa Kebangsaan di Malaysia telah
berjaya, terutamanya jika dilihat dari perspektif penggunaannya dalam jentera
pentadbiran, dalam sistem pendidikan, dan dalam beberapa domain utama kehidupan
sehari-hari masyarakat Malaysia. Kita boleh berbangga dengan kejayaan tersebut.
Namun cabaran yang lain timbul pula, iaitu dalam bentuk penggemblengan usaha
daripada pelbagai pihak yang masih diperlukan untuk melestarikan (mengekalkan
atau menetapkan) sekali gus mempertingkatkan mutu bahasa yang digunakan. Dalam
kata lain, semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan bahasa Melayu terus
diperkasakan agar cabaran abad ke-21 tidak meminggirkan bahasa Melayu sama ada
dalam sistem pendidikan atau pentadbiran.
Pada masa ini, bidang teknologi maklumat amat penting. Jadi, Malaysia telah
mendapat impak yang besar terutama dari segi penggunaan bahasa teknologi
maklumat. Sedia maklum, bahasa teknologi maklumat yang paling dominan di dunia
ialah bahasa Inggeris. Keadaan ini sudah tentu memberi kesan kepada penggunaan
bahasa Melayu dalam teknologi maklumat. Oleh itu, kita seharusnya mempelajari
bahasa teknologi maklumat supaya perbendaharaan kata berkenaan teknologi
maklumat dalam bahasa Melayu diperkaya. Jadi, bahasa Inggeris tetap dipelajari
kerana ilmunya. Kita haruslah berfikiran positif dan memandang ke hadapan.
Semua negara mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua selain bahasa
ibunda. negara Korea Selatan, dan Jepun merupakan sebuah negara yang maju dalam
bidang sains dan teknologi, namun mereka tetap mempertahankan bahasa ibunda dan
bahasa Inggeris tetap dipelajari.
Menurut Kamal Shukri Abdullah Sani (2007:50), bahawa Jepun tidak berganjak
daripada menggunakan bahasanya dari peringkat tadika sehinggalah ke peringkat
pengajian tinggi dalam semua bidang mata pelajaran. Bahasa Inggeris hanya
dipelajari mulai di peringkat menengah dan bukan di peringkat rendah. Peluang
mempelajari bahasa lain seperti Jerman, Sepanyol, Portugis, Rusia,Mandarin dan
lain-lain turut disediakan sama ada di institusi pendidikan, rancangan
televisyen dan lain-lain. Walau bagaimanapun bahasa Jepun tetap diutamakan dan
dijunjung tinggi martabat dan maruahnya. Oleh yang demikian, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah diasaskan
oleh perkembangan dan kemajuan yang pesat dalam bidang mikroelektronik sehingga
menghasilkan pelbagai kemudahan teknologi maklumat seperti komputer peribadi,
telekomunikasi multimedia dan sebagainya. Seterusnya kemunculan Internet telah
meluaskan penggunaan ICT dengan jaringan informasi bersepadu sehingga
membolehkan diaplikasikan sebagai media komunikasi yang melibatkan teks, bunyi,
grafik dan video.
Permasalahan ini secara langsung mempengaruhi dan mencabar kewibawaan dan
kedudukan bahasa Melayu di rantau Nusantara ini. Apatah lagi, negara Malaysia
yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini. Adakah kita
mampu menghadapi cabaran ini dan menidakkan penggunaan teknologi maklumat dalam
arus pembangunan negara. Bagaimana dengan Jepun.? Negara mereka maju dalam
teknologi maklumat, namun bahasa ibunda tetap terjaga dan terpelihara. Perkara
ini perlu kita renung dan fikir bersama. Oleh yang demikian, penekanan terhadap ICT pada era globalisasi dan
liberalisasi bermakna penggunaan bahasa Inggeris menjadi semakin penting dan
tidak dapat dielakkan oleh masyarakat dunia. Era ICT telah menunjukkan bahasa
Inggeris mengiringi kelahiran pertama Internet dunia di Amerika Syarikat dan
seterusnya diikuti dengan pengeluar perisian dan perkakasan komputer seperti
Microsoft, Dell dan Hewlett-Packard yang semuanya diasaskan oleh mereka yang
berbahasa Inggeris.
Sebagai satu pandangan umum, masyarakat perlu memperlihatkan sikap terbuka dan
kesediaan untuk menghadapi cabaran perkembangan yang pesat dalam ICT dengan
pengaruh bahasa asing khususnya bahasa Inggeris. Perlu diakui bahawa bahasa
Melayu masih lagi ‘muda’ atau setahun jagung dari sudut peristilahan sains dan
teknologi berbanding dengan bahasa Inggeris. Usaha supaya bahasa Melayu
diterima dalam era siber hanya akan terlaksana jika masyarakat bahasanya
mempelajari pengalaman dan kejayaan yang telah dicapai oleh bahasa Inggeris.
Dengan cara dan langkah ini, kita percaya perkembangan bahasa Melayu akan terus
bersemarak seandainya kita bersikap terbuka. Dengan adanya ilmu sains dan
teknologi maklumat dalam bahasa Inggeris, kita boleh menterjemahkan ke dalam
bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu.
Secara langsung, bahasa Melayu dalam sains dan teknologi maklumat akan terus
meningkat dan berkembang. Mengikut pendapat Prof. Dr. Hashim Hj. Musa, dalam
buku Sosiolinguistik Lanjutan (2009: 61), bahawa penguasaan ilmu, sains dan
teknologi yang tinggi, kemahiran dan kepakaran secara meluas dalam kalangan
rakyat jelata, merupakan faktor utama dalam pembangunan Sumber Daya Tenaga
Manusia sesebuah negara secara menyeluruh, yang menjadi faktor utama pula
kepada pembangunan dan kemajuan negara itu. Penyampaian dan pemahaman ilmu
pengetahuan, sains, teknologi dan kepakaran serta kemahiran dengan cara yang
paling berkesan adalah dengan perantaraan bahasa kebangsaan rakyat jelata itu
sendiri.
Oleh yang demikian, walaupun cabaran dalam teknologi maklumat begitu hebat,
bahasa Melayu perlu seiring dengan perkembangan teknologi maklumat. Hal ini
disebabkan, pelbagai maklumat yang terkandung dalam pelbagai jenis teknologi
maklumat yang sedia ada harus terdapat dalam bahasa Melayu ini, benar-benar
sesuai dengan hasrat untuk menyejagatkan bahasa Melayu, dan teknologi maklumat
itu sendiri merupakan saluran yang cukup penting canggih, cekap dan pantas
untuk tujuan tersebut. Oleh itu, bahasa Melayu bukannya perlu bersaing dengan
teknologi maklumat, sebaliknya ia patut bersepadunya dengannya. Dengan cara
ini, bahasa Melayu mampu mengaplikasikan sumber ilmu itu untuk menjanakan
maklumat pelbagai bidang dalam dunia serba teknikal ini.
Dalam abad ke-21, sikap penutur atau masyarakat amat penting dalam
penggunaan bahasa ibunda. Sekiranya sikap penutur tiada kesungguhan atau
perasaan malu menebal dalam diri penutur kerana menggunakan bahasa ibunda,
sudah pasti bahasa ibunda akan terkubur. Oleh yang demikian, bagi bahasa
Melayu, cabaran yang sebenarnya terletak pada sikap yang dipegang oleh
penuturnya. Jadi , abad ke-21 telah memperlihatkan kelemahan terhadap sikap
penutur yang tidak mengambil berat terhadap bahasa kebangsaan mereka. Hal ini
disebabkan mereka sudah terdidik dalam bahasa Inggeris dan lebih selesa
bercakap bahasa Inggeris. Akibatnya, mereka yang tidak mahu menggunakannya
telah membentuk satu sikap tidak ‘kisah’ terhadap bahasa ibunda. Peristilahan
dan tutur kata tidak dilakukan kerana tidak mengikuti perkembangan bahasa
Melayu. Apabila disuruh memberi pendapat dan idea, mereka lebih suka bertutur
dalam bahasa Inggeris. Begitulah apabila ada seminar atau pembentangan walaupun
di dalam dewan ada seorang bukan rakyat Malaysia, mereka lebih suka bertutur
dalam bahasa Inggeris. Justeru, permasalahan ini iaitu sikap penutur merupakan
satu cabaran yang perlu ditangani secara berhati-hati pada abad ke-21 agar
bahasa Melayu tidak dipandang rendah oleh masyarakat sendiri. Nik Safiah Karim
dalam buku Sumbangsih, Kumpulan Esei Mengenang Jasa Asraf, memperkatakan,
bahawa bahasa Melayu, cabaran yang sebenarnya terletak pada sikap yang dipegang
oleh penuturnya. Yang tidak dapat dinafikan ialah hakikat kepentingan dan
kesesuaian bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. Jadi, yang tidak dapat
dinafikan ialah hakikat kepentingannya dan kesesuaian bahasa Inggeris sebagai
bahasa antarabangsa.
Abad ke-21 memang membawa cabaran kepada bahasa Melayu dari segi persaingan
dengan bahasa Inggeris tetapi tidaklah keadaan ini menjadi satu cabaran besar
sehingga menggugat kedudukan bahasa Melayu. Oleh yang demikian sikap rakyat
Malaysia mesti yakin dengan keupayaan dan kemampuan bahasa kebangsaan. Kita
seharusnya berasa bangga dengan bahasa Melayu kerana kekal sehingga sekarang
dan bangga terhadap bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi. Kemudian sesuaikan
dengan keadaan apabila hendak menggunakan bahasa Inggeris. Ironisnya, langkah
ini tidak akan timbul keadaan bahasa Melayu tergugat oleh bahasa Inggeris.
Belakangan ini, pada abad ke-21 beberapa gejala yang amat membimbangkan
berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pengaruh media elektronik telah
merosakkan penggunaan bahasa Melayu dari segi pertuturan,ayat, istilah, bahasa
rojak dan sebagainya. Kerosakan penggunaan bahasa Melayu yang paling teruk
berlaku ialah golongan remaja. Pada abad ke-21, sudah menjadi satu trend atau
ikutan kepada golongan remaja dalam penggunaan bahasa Melayu. Senario ini cukup
membimbangkan dan jika tidak ditangani dengan segera, sudah pasti keindahan
bahasa Melayu tidak kedengaran atau berkumandang lagi.
Berbalik kepada penggunaan bahasa Melayu, kebanyakan pengacara majlis atau
program di televisyen dan radio dalam pengendalian sesuatu program, sudah
menjadi kewajiban untuk mencampuradukkan bahasa mereka. Dalam mengendalikan
sesuatu program atau rancangan, pengacara pada peringkat awal menggunakan
bahasa Melayu. Namun, perkara yang sebaliknya telah berlaku iaitu dalam
pertengahan program hingga akhir, pengacara mencampuradukkan penyampaian bahasa
Melayu dan bahasa Inggeris walaupun programnya lebih kepada berbahasa Melayu
dan penontonnya majoritinya berbangsa Melayu.
Memang tidak dapat dinafikan, rakyat di negara kita mahir dalam dua bahasa
iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Terdapat pelbagai bentuk dan cara
dalam pertuturan mereka. Mengikut Nik Safiah Karim (2004), ada kalanya dua bahasa
ini berselang-seli ,iaitu satu ayat dalam satu bahasa diikuti oleh ayat dalam
bahasa kedua. Sebagai contoh ialah “ Saya mengambil keputusan untuk pergi, then
I thought I should consult my father.” Begitulah dengan penggunaan perkataan
yang lain iaitu “ Dalam hal ini you paling best.” “How are you today..harap
OKlah.”Keadaan ini sudah menjadi kebiasaan mana-mana rancangan atau program
televisyen pada abad ke-21. Sekiranya permasalahan ini tidak dibendung, sudah
tentu memberi impak atau cabaran yang besar kepada kedudukan bahasa Melayu di
negara ini.
Manakala golongan remaja pula, penggunaan bahasa Melayu mereka cukup
membahayakan dan boleh merosakkan nilai bahasa Melayu. Hal ini disebabkan
kecanggihan teknologi maklumat pada abad ke-21 iaitu penggunaan telefon bimbit.
Untuk menghantar sms kepada rakan-rakan, mereka menggunakan bahasa rojak dan
berlakulah kerancuan bahasa. Menurut Prof Dr. Hashim Hj. Musa, kerancuan bahasa
ialah penggunaan bahasa yang tidak mengikut peraturannya sama ada dari segi
sintaksis, morfologi, fonologi, kosa kata, istilah dan sebagainya, yang
mengakibatkan kekacauan dan ketidaktekalan dari segi pembentukan ayat, klausa,
frasa, ejaan, sebutan, kosa kata dan istilah. Di sini , terdapat beberapa
perkataan yang sering disalahgunakan semasa menghantar sms. Misalnya, perkataan-perkataan seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum),
w’lam (wa’alaikumsalam), diorang (mereka), tipon (telefon) dan pesal (mengapa).
Pengubahsuaian juga telah dibuat kepada kata ganti nama seperti sayer (saya), dier
(dia) dan engko (engkau). Begitu juga dengan kata tanya telah diubah suai seperti
biler (bila), camner (bagaimana) dan maner (mana). Kerancuan bahasa Melayu abad
ke-21 merupakan satu cabaran yang boleh merosakkan keteraturan,kehalusan dan
keintelektualan bahasa Melayu, kerana menjejas sistem dan peraturannya yang
menyebabkan kecelaruan dan ketidaktekalannya. Hal ini akan merosakkan martabat
dan kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pendidikan dan
bahasa ilmu tinggi, yang akhirnya akan menurunkan maruahnya dan disisihkan
sedikit demi sedikit oleh pengguna bahasanya.
Pada peringkat ini, bahasa Melayu terus berkembang tanpa menghadapi
masalah. Namun, semasa penjajahan Inggeris perkembangan bahasa Melayu terus
malap dan tidak bermaya. Pejuang-pejuang bahasa yang mencintai bahasa, terus
berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu. Selepas kemerdekaan, bahasa Melayu
telah menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan universiti.
Walau bagaimanapun pada abad ke-21, bahasa Melayu mula dipersoalkan dan ada
pihak-pihak tertentu ingin mengembalikan bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengantar di negara ini. Oleh yang demikian, cabaran-cabaran seperti cabaran
pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, cabaran bahasa Melayu dalam kemajuan
teknologi maklumat , cabaran bahasa Melayu terhadap sikap penuturnya dan
cabaran bahasa Melayu dalam penggunaan bahasa Melayu menjadi isu perbincangan
dalam abad ke-21. Cabaran-cabaran ini terpaksa dilalui secara berhati-hati agar
permasalahan yang sedikit akan memberi impak yang besar terhadap bahasa Melayu.
Pada masa ini, pengaruh bahasa Inggeris begitu kuat dan dikenali sebagai bahasa
antarabangsa.Untuk berhubung pada peringkat antarabangsa, bahasa Inggeris
menjadi keutamaan.
Justeru itu, jalan terbaik untuk menghadapi cabaran ini ialah sikap kita terhadap
bahasa Melayu. Walaupun kita menghadapi pelbagai cabaran, bahasa kedua perlu
kita pelajari. Sebab saya berkata demikian, bahasa Inggeris amat diperlukan
untuk kita berhubung di peringkat antarabangsa. Namun , tidaklah keadaan ini
menjadi satu cabaran besar sehingga menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan, bahasa pengantar dan bahasa berdaulat seperti yang tercatat
dalam Perlembagaan Negara. Paling penting rakyat Malaysia mempunyai sikap atau
jati diri yang betul terhadap bahasa kebangsaan. Seandainya rakyat Malaysia
mempunyai perasaan bangga terhadap bahasanya, jikalau rakyat Malaysia tahu bila
hendak menggunakan bahasa Inggeris dan bilakah pula keadaan penggunaan bahasa
kebangsaannya, maka tidak akan timbul persaingan dan tidak akan timbul keadaan
bahasa Melayu dalam dilema itu, kita mesti mengetahui tempat penggunaannya
supaya permasalahan tidak timbul.
Dengan langkah yang sedemikian, nescaya permasalahan dan cabaran-cabaran bahasa
Melayu dalam abad ke-21 dapat diatasi. Paling penting, masyarakat Malaysia
perlu mempunyai sikap bangga diri terhadap bahasa ibunda kerana pada suatu masa
dahulu bahasa Melayu merupakan bahasa yang telah diterima di peringkat
antarabangsa iaitu zaman Empayar Srivijaya. Pada hari ini, bahasa Melayu
mempunyai jumlah penutur yang dianggarkan hampir 250 juta dan bahasa Melayu
telah menjadi bahasa rasmi untuk empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia,
Brunei, dan Singapura. Hal ini ditambah lagi bahawa bahasa Melayu pernah
berkumandang buat kali pertama di Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Oleh
itu, semangat dan jiwa seumpama ini perlu diikuti, dicontohi dan diteladani oleh
masyarakat Malaysia, pemimpin-pemimpin dan ilmuwan. Saya percaya dengan langkah
yang sedemikian, membolehkan bahasa Melayu menongkah arus pada abad ke-21 dan
martabat bahasa Melayu akan kembali di landasan yang kita ingini.
Comments
Post a Comment