BUKU SASTERA (SUNGAI MENGALIR LESU)



Sungai Mengalir Lesu merupakan salah sebuah novel karya A.Samad Said yang mengisahkan kehidupan di sebuah kampung di tepi sebuah sungai di Singapura semasa pendudukan Jepun. Kisahnya penuh tragedi, penyeksaan, kebuluran, kemelaratan dan maut. A.Samad Said berjaya menggambarkan sebahagian keluarga yang menderita dalam setiap bab kemudian dikaitkan pula setiap satu keluarga dengan mereka yang lain supaya pembaca faham yang mereka ini tinggal sekampung dan saling mengenali cuma berbeza “kasut” mengikut penceritaan yg digambarkan beliau.

Sungai Mengalir Lesu bukan kisah sungai semata-mata tetapi sebuah sungai yang telah banyak memakan jiwa dan nyawa manusia akibat kesempitan hidup dan pelbagai lagi kisah hidup yang mencengkam hidup mereka. Ia mengisahkan kehidupan di sebuah kampung di tepi sebuah sungai di Singapura semasa pendudukan Jepun. Di satu pihak, Jepun mengancam mereka dengan pedang dan senapang, sementara di pihak lain Inggeris mengancam mereka dengan serangan bom dari kapal terbang sehingga akhirnya Jepun terpaksa menyerah kalah dan mengundur diri. Bagaimanapun, untuk terus hidup, penduduk kampung perlu berusaha. Desakan untuk hidup membuat anak-anak mencari rezeki di dalam sungai yang kotor, orang muda menjadi penyamun dan gadis-gadis menjadi pelacur.  Penduduk kampung di tepi sungai ini sudah seperti keluarga walaupun mereka berlainan bangsa dan agama. Tempat persembunyian mereka juga sama setiap kali berlakunya pengeboman dari udara.

 

Terdapat juga kisah yang digarap sehingga dapat menyentuh perasaan pembaca iaitu kisah persahabatan antara Irwan dan juga Mulyadi. Mereka merempat. Mencari makanan hanya di tepi sungai iaitu sisa-sisa atau kadangkala terpaksa mencuri dengan menyeludup ke gudang makanan “sojar” jepun. Walaupun tahu akan bahaya yg membawa maut jika terjumpa oleh sojar jepun, mereka terpaksa dan tiada pilihan lain untuk mengisi perut malahan mereka juga terpaksa meminta ubat-ubatan dari kedai secara percuma dengan muka tebal akibat tiada wang dan harga barangan ketika itu mencanak naik. Ketika tokak Mulyadi semakin teruk dan dia tahu masanya tidak lama lagi, dia mewasiatkan sesuatu kepada Irwan supaya pulang ke kampung halamannya dan memberitahu isterinya yang kematiannya terkena peluru sesat, bukan mati sebegini (derita sakit tokak) dan kehidupannya bukanlah makan minum di pagar kubur tempat mereka merempat tetapi menyewa bilik. Pesanan yang terakhir pula meminta Irwan memberikan anak patung kain kepada anak perempuannya itu.


       Kisah seterusnya pula mengenai Salimah dan Tuminah. Dua perempuan yang berbeza tetapi mempunyai satu niat yang sama iaitu terpaksa melacur diri untuk meneruskan hidup. Salimah seorang gadis remaja yang terpaksa memberikan badannya kepada Sojar Jepun sebagai gantian dengan makanan. Dia terpaksa melakukan hal sedemikian secara senyap untuk meneruskan kelangsungan bekalan makanan untuk dirinya dan keluarganya. Lain pula kisahnya dengan Tuminah iaitu seorang janda yg tidak mempunyai anak tetapi mempunyai seorang adik lelaki yang berusia 8 tahun yang tinggal bersamanya. Dia terpaksa mempergunakan jejaka sekampung dengannya, Basir untuk memberikan dia makanan. Basir sanggup buat sahaja untuk Tuminah walaupun terpaksa menyeludup ke gudang makanan sojar Jepun asalkan niatnya untuk menjamah tubuh Tuminah tercapai. Dalam masa yang sama mereka ini saling menyayangi kerana terlalu kerap berhubung walaupun secara sembunyi tanpa pengetahuan orang sekeliling.

Comments

Popular posts from this blog

TOKOH MOTIVASI (DATO’ FADZILAH KAMSAH)

ISU SASTERA (PENGAJARAN SASTERA MELAYU DI SEKOLAH MASIH LEMAH)

ISU SEMASA (NEGARA MADANI)