BUKU SASTERA (SRENGENGE)
Srengenge merupakan sebuah novel
karya salah seorang sasterawan negara terkenal Malaysia iaitu Shahnon Ahmad
yang diterbitkan pada tahun 1973. Pada tahun yang sama, novel ini juga telah
diangkat sebagai novel terbaik sepanjang tahun. Srengenge menurut Shahnon Ahmad
berasal dari perkataan Jawa Kuno yang bermaksud matahari. Tapi dalam novel ini
Srengenge adalah nama bagi sebuah bukit di sebuah kampung. Bukit Srengenge. Kewujudan
sebenar Bukit Srengenge dalam novel ini dapat dilihat di Sik, Kedah, tempat
kelahiran penulis, Shahnon Ahmad. Penduduk kampung di Sik itu memanggilnya dengan nama
Bukit Enggang. Dari nama Enggang itu Shahnon Ahmad menukarkannya kepada nama
Srengenge. Novel Srengenge ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa
lain, antaranya bahasa Inggeris, bahasa Rusia dan bahasa Thai. Srengenge
membawa konflik antara manusia dengan unsur-unsur animisme.
Shahnon Ahmad
memulakan novel Srengenge ini dengan kata,
‘Srengenge
tersergam hodoh macam setan.’ Permulaan novel ini seakan menceritakan segalanya yang
tersirat. Srengenge dan setan. Bagaimana Bukit Srengenge telah dijadikan oleh
setan sebagai bahan untuk menyesatkan penduduk Kampung Kaki Srengenge. Dan
sifat setan itu sendiri tidak akan pernah berputus asa dalam membawa manusia ke
lembah kesesatan.
Kampung
Kaki Srengenge, sebuah kampung di mana penduduknya rata-rata bekerja menyara
hidup sebagai pesawah. Sementara menunggu masa padi untuk dituai, penduduk
kampung mengisi masa dengan aktiviti-aktiviti seperti menepuk pelanduk,
menggetah puling atau punai, meracik tekukur, menjebak landak, di Bukit
Srengenge ini. Konfliknya timbul apabila watak utamanya, Awang Cik Teh
melahirkan hasrat untuk menutuh, menebas, memugar, membersihkan Bukit Srengenge
itu. Bukit Srengenge yang menjadi tempat kebanyakkan penduduknya menghabiskan
masa lapang menepuk, menggetah, meracik, dan menjebak. Hasrat Awang Cik Teh itu
sudah pasti mendapat tentangan yang maha besar dari sekalian warga kampung. Tentangan
terhadap hasrat Awang Cik Teh itu berpunca dari beberapa sebab dan keadaan.
Antaranya kebiasaan penduduk kampung menepuk, menggetah, meracik, dan menjebak
di Bukit Srengenge itu. Kebiasaan itu telah menjadi suatu nikmat besar kepada
mereka apabila tiba waktu menunggu padi untuk dikutip. Dan kerana sebab itu
mereka tidak mahu sesiapa mengganggu gugat keadaan Bukit Srengenge itu. Sebab
lain kerana khalayak penduduk kampung percaya bahawa Bukit Srengenge itu ada
yang menjaganya. Ada penunggunya. Ada datuk-datuk yang memeliharanya. Pantang
dibuat yang tidak elok ke atas bukit itu. Nahas seluruh kampung binasa. Itu
antara kepercayaan mereka. Itu adalah situasi yang biasa tergambar kepada
penduduk-penduduk kampung, lebih-lebih lagi kampung yang berada di kawasan
pedalaman. Mempercayai sesuatu kuasa selain dari kuasa Tuhan tanpa menafikan
kuasa Tuhan itu sendiri. Kepercayaan mereka kepada Bukit Srengenge itu semakin
menguat apabila Imam Hamad, (salah satu watak dalam novel) diserang penyakit
‘misteri’ sebaik pulang dari meracik tekukur di Bukit Srengenge dan sebaik
sahaja menyatakan persetujuan dengan cadangan Awang Cik Teh, untuk memugar
Bukit Srengenge itu. Kemudian, muncul pula watak Useng dalam novel ini untuk
dijadikan sebagai seorang yang ‘berkebolehan’ mengubati sakit-sakit misteri
seperti yang terkena pada Imam Hamad. Menurut Useng, penduduk Kampung Kaki
Srengenge diberitahu bahawa Imam Hamad telah ‘tertegur’ oleh Bukit Srengenge.
Useng sangat dipercayai oleh warga kampung. Maka bilamana katanya tertegur,
maka tertegurlah punca Imam Hamad sakit itu. Dan bila kata Useng Bukit
Srengenge harus dijamu, maka sekalian anak buah Kaki Srengenge harus wajib
mempercayainya tanpa bantahan satu apa pun. Bukit Srengenge mesti dijamu baru
Imam Hamad dapat sembuh seperti sediakala. Imam Hamad ditakdirkan meninggal
dunia walaupun selepas Bukit Srengenge dijamu. Tapi penduduk Kampung Kaki
Srengenge tetap mempercayai kuasa datuk-datuk yang menjaga Bukit Srengenge.
Tetap memuliakan Bukit Srengenge. Sehingga sesiapa yang cuba memugar Srengenge
diibaratkan seperti meruntuhkan madrasah, mencabut batu nisan, mengoyakkan
al-Quran. Dan pasti Imam Hamad telah melakukan salah besar kepada Bukit
Srengenge sehingga begitu sekali balasannya. Jangankan kata mahu memugar,
berniat sahaja pun sudah seperti ibarat membunuh diri.
Comments
Post a Comment